Thursday, June 23, 2011

Berapakah jumlah perlindungan Takaful yang anda perlukan?

Perlindungan Takaful merupakan suatu perkara yang anda beli dan berharap anda tidak akan gunakannya.
Sekiranya ada sesiapa dalam hidup anda yang bergantung hidup kepada pendapatan anda, anda perlu mempertimbangkan perkara ini. Persoalannya, apakah anda memerlukan perlindungan Takaful? Berapa yang perlu anda bayar untuk mendapatkan perlindungan Takaful? Apakah jenis perlindungan Takaful yang sesuai untuk anda?

Anda tidak perlu gusar. Perkara utama yang perlu anda faham adalah Perlindungan Takaful direkabentuk untuk menggantikan pendapatan anda yang hilang atau berupaya menjadi pembayar kepada keperluan utama keluarga anda jika anda sudah tiada lagi di dunia ini.

Jika anda rasakan anda merupakan calun yang sesuai untuk mendapatkan perlindungan Takaful, langkah seterusnya yang anda perlu lakukan adalah membuat anggaran jumlah perlindungan Takaful yang anda perlukan. Dengan membuat anggaran, secara tidak langsung anda akan faham dan sedar bagaimana dengan cara hidup anda sekarang dan keperluan kewangan anda. Ini akan menyenangkan anda dalam membuat keputusan jenis perlindungan Takaful yang anda perlukan.

Siapa yang perlukan perlindungan Takaful?

Setiap orang memerlukan perlindungan Takaful, tanpa mengira samada anda bujang, berkahwin, mempunyai anak atau mempunyai ibubapa yang telah tua dan bergantung harap kepada anda, maka perlindungan Takaful merupakan pilihan yang terbaik.

Anda juga tidak terkecuali jika anda merupakan penjawat awam atau swasta. Anda memerlukan satu perlindungan Takaful sebagai satu kaedah yang dapat menggantikan pendapatan anda yang hilang.
Perkara lain yang perlu anda pertimbangkan: Adakah pasangan anda yang bekerja perlukan masa bersama anak-anak anda akibat kehilangan anda? Jika ya, berapakah kos yang perlu ditanggung? Bagaimana dengan kos yang anda perlukan untuk menggajikan amah untuk melakukan tugasan di rumah anda?

Lihat kepada diri anda. Jika anda telah menghampiri umur bersara, bagaimana dengan pendapatan pasangan anda? Apakah akan ada perubahan jika anda tiada lagi di dunia ini?

Berapakah jumlah yang diperlukan?

Jika ada telah faham tujuan perlindungan Takaful, anda perlu bertindak. Berapakah jumlah yang diperlukan oleh keluarga anda setahun jika anda tiada lagi di dunia ini? Katakan anda ingin melangsaikan hutang rumah sebanyak RM200,000 dan baki sebanyak RM200,000 diperuntukkan untuk anak anda belajar di IPT. Ini bermakna anda memerlukan satu perlindungan Takaful yang berjumlah RM1.4 juta. Jika anda ingin menggantikan pendapatan tahunan sebanyak RM50,000, bermakna anda perlukan satu perlindungan Takaful berjumlah RM1 juta (menggunakan kadar keuntungan pelaburan sebanyak 5% setahun).

Thursday, January 21, 2010

72% pesara habiskan wang simpanan KWSP dalam 3 tahun

Utusan Malaysia, Jumaat, 25 Julai 2008
Oleh: ASIAH MION

BANGI 21 Jan. - Sebanyak 72 peratus daripada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengeluarkan wang pada usia 55 tahun didapati menghabiskannya dalam tempoh tiga tahun.

Pengerusi Lembaga KWSP, Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, sehubungan itu pihaknya akan memperbanyakkan kempen kesedaran dan seminar supaya wang caruman itu dirancang dengan baik selepas persaraan.

``Ini sangat penting memandangkan jangka hayat bagi warga Malaysia semakin meningkat dengan jangka hayat bagi kaum lelaki adalah 82 tahun dan wanita pula 85 tahun menjelang 2020, berbanding 73 tahun bagi lelaki dan 75 tahun bagi wanita sekarang ini.

``Ini bermakna selepas mengeluarkan wang pada usia 55 tahun mereka mempunyai tempoh 20 tahun untuk hidup, maka itu mereka perlu bijak melabur atau memilih skim yang dapat melindungi mereka untuk jangka panjang,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kursus Pertubuhan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) peringkat Asia dan Pasifik kali ke-18 di Institut Latihan Keselamatan Sosial KWSP (ESSET) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Pengarah Kawasan ISSA bagi Pejabat Kawasan Asia dan Pasifik, Hector Inductivo.

Menurut Abdul Halim, kebanyakan pencarum KWSP lebih suka memilih mengeluarkan wang caruman sekali gus berbanding skim pengeluaran secara berperingkat-peringkat dan berkala.

Beliau berkata: ``Duit itu hak pencarum dan mereka bebas memilih jenis skim pengeluaran yang disukai. KWSP tidak boleh menghalang tetapi kita berharap duit itu dirancang dengan sebaiknya supaya dapat menyara hidup mereka hingga ke akhir hayat.''

Mengenai pembaharuan di KWSP, Abdul Halim berkata, banyak daripada pertubuhan seperti KWSP di seluruh dunia sedang mengkaji semula sistem jaminan sosial dengan tujuan menyediakan ``sesuatu yang lebih mampu dan cekap.''

``Banyak daripada negara yang memberikan manfaat yang menarik kini menghadapi masalah, jadi sistem itu dikaji semula supaya mampu membayar pencarum,'' katanya.

KWSP diperkenalkan kepada sektor swasta di negara ini lebih 50 tahun lepas dan dianggap sebagai kumpulan wang simpanan yang tertua di dunia.

Sehingga November tahun lepas ia mempunyai 10.8 juta pencarum, dengan jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP ialah seramai 327,667.

Caruman terkumpul di dana itu sehingga November lepas ialah RM176.15 bilion sementara aset terkumpul ialah RM190 bilion.