72% pesara habiskan wang simpanan KWSP dalam 3 tahun
Utusan Malaysia, Jumaat, 25 Julai 2008
Oleh: ASIAH MION
BANGI 21 Jan. - Sebanyak 72 peratus daripada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengeluarkan wang pada usia 55 tahun didapati menghabiskannya dalam tempoh tiga tahun.
Pengerusi Lembaga KWSP, Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, sehubungan itu pihaknya akan memperbanyakkan kempen kesedaran dan seminar supaya wang caruman itu dirancang dengan baik selepas persaraan.
``Ini sangat penting memandangkan jangka hayat bagi warga Malaysia semakin meningkat dengan jangka hayat bagi kaum lelaki adalah 82 tahun dan wanita pula 85 tahun menjelang 2020, berbanding 73 tahun bagi lelaki dan 75 tahun bagi wanita sekarang ini.
``Ini bermakna selepas mengeluarkan wang pada usia 55 tahun mereka mempunyai tempoh 20 tahun untuk hidup, maka itu mereka perlu bijak melabur atau memilih skim yang dapat melindungi mereka untuk jangka panjang,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kursus Pertubuhan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) peringkat Asia dan Pasifik kali ke-18 di Institut Latihan Keselamatan Sosial KWSP (ESSET) di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Pengarah Kawasan ISSA bagi Pejabat Kawasan Asia dan Pasifik, Hector Inductivo.
Menurut Abdul Halim, kebanyakan pencarum KWSP lebih suka memilih mengeluarkan wang caruman sekali gus berbanding skim pengeluaran secara berperingkat-peringkat dan berkala.
Beliau berkata: ``Duit itu hak pencarum dan mereka bebas memilih jenis skim pengeluaran yang disukai. KWSP tidak boleh menghalang tetapi kita berharap duit itu dirancang dengan sebaiknya supaya dapat menyara hidup mereka hingga ke akhir hayat.''
Mengenai pembaharuan di KWSP, Abdul Halim berkata, banyak daripada pertubuhan seperti KWSP di seluruh dunia sedang mengkaji semula sistem jaminan sosial dengan tujuan menyediakan ``sesuatu yang lebih mampu dan cekap.''
``Banyak daripada negara yang memberikan manfaat yang menarik kini menghadapi masalah, jadi sistem itu dikaji semula supaya mampu membayar pencarum,'' katanya.
KWSP diperkenalkan kepada sektor swasta di negara ini lebih 50 tahun lepas dan dianggap sebagai kumpulan wang simpanan yang tertua di dunia.
Sehingga November tahun lepas ia mempunyai 10.8 juta pencarum, dengan jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP ialah seramai 327,667.
Caruman terkumpul di dana itu sehingga November lepas ialah RM176.15 bilion sementara aset terkumpul ialah RM190 bilion.